SUNGAI SIPUT: Peningkatan aktiviti serta pembangunan ekopelancongan di Pos Kuala Mu, di sini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli Suku Temiar.

Terletak kira-kira 50 kilometer dari pekan Sungai Siput, Pos Kuala Mu berpotensi menjadi lokasi pelancongan mampan dengan kekayaan sumber alam serta budaya tempatan yang akan diketengahkan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Dikelilingi keunikan dan alam semula jadi, pelancong boleh memilih lokasi penginapan yang disediakan di kawasan berkenaan sama ada di Kampung Bersah, Kampung Dusun, Gapeh Hulu dan Kuala Mu.

Bagi pengusaha chalet Kampung Bersah, Hassan Busu berkata, kehadiran pelancong di hujung minggu dan cuti sekolah membuatkan penduduk tidak menang tangan.

Menurut Hassan, kampungnya menepati ciri dalam pelan Perak Sejahtera 2030 yang menawarkan pengalaman tropika berharga buat pengunjung.

"Keindahan Sungai Mu yang jernih dan dikelilingi hutan menghijau sememangnya menjadi tarikan pengunjung di luar sana.

"Kita turut ketengahkan budaya Orang Asli seperti tarian sewang, makanan, seni chalet yang diperbuat daripada buluh dan bertam untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan negeri," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Tambah Hassan, pihaknya bersedia menerima kehadiran pelancong dengan menyediakan penginapan yang boleh menampung sehingga 300 orang satu-satu mangsa.

"Aktiviti merentas hutan ke air terjun di hulu Sungai Mu bergantung kepada keadaan cuaca dan kebenaran daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri.

"Pengunjung bagaimanapun boleh menikmati alam semula jadi dengan memancing ikan, berkelah bersama keluarga dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Tok Batin, Hadu Long berkata, pembangunan Pos Kuala Mu mula berkembang selepas aktiviti ekopelancongan diperkenalkan sejak 2017.

"Terbinanya chalet-chalet ini, dapat dilihat satu-satu pembangunan mula bertapak seperti kedai runcit, gerai makanan dan kedai gunting rambut untuk kemudahan pengunjung dan penduduk.

"Penduduk tidak perlu lagi bergerak jauh yang perjalanan mengambil masa lebih sejam untuk beli barang. Malah, sebuah perpustakaan desa turut didirikan untuk kemudahan anak-anak kampung belajar," katanya.

Hadu mengharapkan kerajaan negeri dapat membantu mempertingkatkan fasiliti kampung untuk keselesaan pelancong. - Sinar Harian