KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsa Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) kini disatukan di bawah jenama Pos Laju sebagai sebahagian daripada usaha transformasi syarikat untuk memperkukuh sokongan kepada perniagaan tempatan yang ingin berkembang ke pasaran global.
Pos Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, transformasi itu akan memudahkan akses perniagaan kepada perkhidmatan penghantaran, selain memperkukuh Pos Laju sebagai platform tunggal yang diyakini, dengan perkhidmatan lebih mudah, jelas dan lancar bagi penghantaran dalam dan luar negara.
“Langkah ini dibuat ketika semakin banyak perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mula meneroka pasaran luar negara sebagai sumber pertumbuhan baharu.
“Perkembangan e-dagang rentas sempadan juga mendorong kepada penyelesaian logistik yang mudah dan boleh dipercayai, satu keperluan penting bagi perniagaan yang ingin menembusi pasaran baharu,” menurut kenyataan itu.
Pos Malaysia berkata langkah itu juga mencerminkan fasa baharu syarikat yang berpengalaman lebih 200 tahun dalam menghubungkan masyarakat dan perniagaan di dalam serta luar negara.
Bagi menyokong pertumbuhan e-dagang negara, Pos Malaysia juga menyasarkan untuk terus memperkukuh kedudukan Pos Laju sebagai platform utama penghantaran barangan melalui gabungan rangkaian penghantaran pos dan komersial ke lebih 230 negara dan wilayah.
Selain perkhidmatan penghantaran, syarikat itu turut menawarkan ekosistem e-dagang menyeluruh termasuk kemudahan pemenuhan seperti penyimpanan, pengambilan dan pembungkusan pesanan serta penyelesaian penghantaran bersepadu.
Inisiatif ini membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan jualan, sementara Pos Malaysia mengurus kerumitan pemprosesan pesanan dan logistik di sebalik tabir.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Jualan Kumpulan Pos Malaysia Charles William berkata penyatuan itu bertujuan membantu perniagaan berkembang bukan sekadar dalam talian tetapi juga secara lebih mampan dalam ekosistem digital.
Beliau berkata sebagai platfrom tunggal, Pos Laju akan memudahkan peralihan perniagaan daripada domestik kepada perdagangan rentas sempadan dengan sokongan ekosistem rangkaian logistik yang lebih menyeluruh.
“Secara keseluruhan, inisiatif ini adalah tentang menyediakan laluan yang lebih jelas dan mudah diakses untuk perniagaan tempatan meluaskan capaian merentas sempadan dan melangkah lebih jauh,” katanya.
William berkata pelaksanaan penyatuan itu akan dibuat secara berperingkat melalui platform digital, cawangan runcit dan saluran perniagaan bagi memastikan proses peralihan yang lancar kepada pelanggan.
-- BERNAMA