KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung poster tular yang memaparkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Kes ini juga disiasat mengikut 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menyalahgunakan media sosial," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Amihizam memberitahu, pihaknya menerima laporan daripada Teresa Kok kira-kira pukul 5 petang, Khamis lalu.

Dalam laporan itu, katanya, pengadu memaklumkan sekeping poster mengandungi logo Felda yang memaparkan gambarnya bersama ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Pengerusi Felda tular di media sosial termasuk WhatsApp.

Beliau memberitahu, pengadu terpaksa menambah perkataan palsu di dalam poster yang tular dan mengongsikannya di media sosial untuk penafian.

Katanya, berita palsu itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Perak, Ustaz Khalil Yahaya di akaun Facebooknya.

Berdasarkan siasatan awal, Amihizam berkata poster yang tular itu adalah palsu dan perkara itu turut disahkan Felda.

Katanya, kes itu masih lagi disiasat.

Beliau turut menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung poster tular itu.