Kerajaan melihat potensi pelaburan bernilai RM100 bilion dalam industri nadir bumi untuk tempoh masa 10 tahun akan datang.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pelaburan itu, sekali gus boleh menjadi platform menarik lebih ramai pelabur luar untuk melonjakkan sektor ekonomi negara.

"Namun mereka sememangnya mahu penjelasan dan akan memberi pelaburan di negara kita pada skala besar dalam industri nadir bumi selepas peraturan mengenainya jelas.

"Mereka perlu tahu Undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana sudah banyak perkara negatif yang disebut mengenai industri nadir bumi di negara ini," katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama persidangan meja bulat, Masa Depan Industri Nadir Bumi anjuran Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF) di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski; Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Lynas, Pol Le-Roux dan Pengerusi MGBF, Nordin Abdullah

Persidangan tersebut melibatkan pembuat dasar, pemain industri, syarikat berkaitan kerajaan, agensi pembangunan kerajaan, ahli akademik dan pemegang taruh bagi membantu merangka hala tuju strategik dan mencadangkan langkah seterusnya dalam industri nadir bumi.

Nadir bumi adalah input perlu dalam industri automotif dan akan menjadi lebih penting berikutan perkembangan kenderaan elektrik, industri elektronik, minyak dan gas dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa ini, China mendominasi industri nadir bumi dengan pegangan lebih 80 peratus.

Pada masa sama jelas Mohd Redzuan, pelabur luar mahu kerajaan memberikan jaminan untuk menyediakan peluang dalam industri berkenaan.

Sementara itu, kata beliau, pemain industri nadir bumi tempatan digalakkan untuk mengambil inisiatif penerangan kepada rakyat bagaimana industri itu selamat dan tidak memberi risiko kepada kesihatan.

Tegasnya, rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga sudah menguatkuasakan undang-undang melindungi alam sekitar daripada dicemari sisa.

"Pemain industri khususnya pelabur harus menerangkan dahulu kepada kerajaan bagaimana mereka boleh menguruskan pengeluaran sisa supaya tidak membawa impak alam sekitar dan umat manusia seperti yang sentiasa dikhuatiri masyarakat tempatan.

"Sedia maklum kita mempunyai loji pemprosesan minyak mentah yang menyaksikan pengeluaran sisa toksik pada skala yang besar.

"Kita juga mempunyai standart kejuruteraan dan menepati piawaian kualiti antarabangsa serta terbaik di dunia selain menjadi negara pemproses nadir bumi kedua terbesar dunia selepas China," ujarnya lagi.