KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengumumkan penubuhan Unit Anti-Scam PPIM bagi menyediakan mekanisme lebih tersusun dalam memperkukuh perlindungan dan pembelaan terhadap pengguna yang menjadi mangsa penipuan digital.
Unit di bawah inisiatif Gerakan Rakyat Prihatin PPIM itu akan menerima aduan, mengumpul maklumat, membuat penelitian awal serta membantu mangsa memahami bentuk penipuan yang berlaku.
PPIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan unit berkenaan turut akan mengenal pasti corak dan modus operandi penipuan yang dilaporkan selain membantu mangsa menentukan saluran laporan yang sesuai.
“Tumpuan juga diberikan kepada meningkatkan kesedaran rakyat mengenai ancaman scam (penipuan), termasuk social engineering, penyamaran identiti dan penipuan transaksi digital serta mengumpulkan maklumat mengenai trend aduan bagi tujuan pendidikan dan advokasi pengguna,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, PPIM memperkenalkan fungsi khusus Pegawai Penyiasat Scam Digital yang bertanggungjawab membantu penelitian awal terhadap aduan termasuk menyusun maklumat dan kronologi kes, mengenal pasti modus operandi serta menyediakan dokumentasi lebih sistematik untuk tindakan susulan.
“Peranan ini bukan untuk mengambil alih fungsi penyiasatan rasmi pihak berkuasa, sebaliknya menjadi mekanisme bantuan dan advokasi supaya maklumat mangsa dapat disusun sebelum disalurkan menerusi saluran yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Menurut persatuan itu, usaha menentang penipuan memerlukan penglibatan seluruh ekosistem termasuk pengguna, keluarga, komuniti, institusi kewangan, penyedia platform digital, agensi kerajaan, penguat kuasa serta organisasi masyarakat sivil.
PPIM turut menggesa masyarakat menghentikan budaya menyalahkan mangsa kerana penipu kini menggunakan pelbagai teknik manipulasi psikologi dan penyamaran sehingga mangsa dalam sesetengah keadaan hanya menyedari mereka diperdaya selepas transaksi dilakukan.
Justeru, orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu disaran menyimpan semua bukti termasuk mesej, nombor telefon, resit transaksi, tangkap layar, pautan dan rakaman komunikasi serta membuat laporan melalui saluran yang sah.
-- BERNAMA