KUALA TERENGGANU: Projek pertama Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) bagi menempatkan mangsa banjir dijangka siap dan beroperasi pada 2026, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata kerajaan dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2024 pada 13 Okt lepas telah meluluskan pembinaan sembilan PPKB di sembilan negeri yang sering dilanda banjir termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kos siling bagi sebuah PPKB ditetapkan pada kadar RM5 juta yang akan dilengkapkan dengan fasiliti seperti dewan penginapan, dapur, ruangan khas wanita, ruangan ibu menyusu, bilik solat, bilik air, bilik rawatan serta pelbagai kemudahan lain yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

"Inisiatif baharu ini ialah usaha menambah baik prasarana pusat penempatan mangsa bencana yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah-sekolah dan balai raya.

"Kementerian Kewangan (MOF) telah menyalurkan peruntukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk laksanakan projek dan ia akan dilakukan secara berperingkat di sembilan negeri yang merupakan projek fasa pertama," katanya pada lawatan kerja ke tapak PPKB Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong di sini hari ini.

Armizan berkata selain SK Banggol Peradong di sini, lapan lokasi lain yang dicadangkan ialah SK Gual Tinggi di Pasir Mas, Kelantan; SK Seri Medan di Batu Pahat, Johor; SK Benta di Kuala Lipis, Pahang; SK Perwira di Teluk Intan, Perak.

Lokasi lain pula ialah SK Machang Bubok, Pulau Pinang; SK Beradek di Kuching, Sarawak sementara di Kedah dan Sabah masih di peringkat penilaian Jabatan Pendidikan negeri berkenaan.

Menurut beliau, setiap PPKB dianggarkan dapat menampung sebanyak 500 mangsa pada satu-satu masa dan kesemua sembilan projek itu diadakan di kawasan sekolah bagi membolehkan ia dilaksanakan segera dan mengelak isu berkaitan tanah.

"Sekarang ini sudah di peringkat reka bentuk dan proses tender akan dimulakan awal tahun depan. PPKB mempunyai persekitaran yang lebih baik berbanding PPS," katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata sebanyak 8,481 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dijangka pada November hingga Mac tahun depan.

Selain itu, pihaknya juga bekerjasama dengan NADMA untuk pelaksanaan projek-projek kecil baik pulih, naik taraf serta bina baharu tandas dan bilik mandi di PPS secara berperingkat.

-- BERNAMA