Skip to main content

Malaysia

PPM rampas minuman keras, rokok putih seludup nilai lebih RM3.53 juta

Pasukan Polis Marin
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas minuman keras dan rokok putih seludup bernilai lebih RM3.53 juta menerusi dua operasi berasingan di Pasir Puteh dan Pasir Mas, kelmarin dan semalam.
Advertisement

KOTA BHARU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas minuman keras dan rokok putih seludup bernilai lebih RM3.53 juta menerusi dua operasi berasingan di Pasir Puteh dan Pasir Mas, kelmarin dan semalam.

Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Mohd Khairuddin Jamal berkata operasi pertama dijalankan hasil maklumat awam apabila anggota bot ronda menyerbu sebuah bot nelayan tempatan Kelas C2 di Jeti Tok Penghulu, Sungai Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh, kira-kira 12.30 tengah malam, Khamis lepas.

Beliau berkata vesel berkenaan yang dipercayai mempunyai lesen tamat tempoh dan tidak lagi aktif menjalankan aktiviti perikanan, disyaki dijadikan tempat penyimpanan barangan seludup.

“Hasil pemeriksaan menemukan 50 karton minuman keras dengan anggaran kuantiti 396 liter. Nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1,517,549.50.

“Seorang penjaga lokasi, iaitu warga asing tanpa dokumen berusia lingkungan 40-an, turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata dalam operasi kedua semalam, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Tiga mengesan sebuah lori satu tan dan sebuah kereta yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan Salor, Pasir Mas.

Beliau berkata kedua-dua kenderaan itu terbabas di bahu jalan selepas dikejar sejauh kira-kira 16 kilometer hingga ke Ketereh, Kota Bharu, namun suspek berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu menemukan sebanyak 976,800 batang rokok putih yang dipercayai diseludup.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu dianggarkan RM2,014,464,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement