KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan Bantuan Khas COVID-19 yang disalurkan kepada golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, keputusan penyaluran bantuan itu dilaksanakan kerana banyak pihak didapati mengalami masalah dan memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi dengan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April.


"Kesinambungan daripada program ini, PPZ-MAIWP akan melihat ruang bantuan-bantuan lain bagi golongan tercicir iaitu merea yang bukan dalam kategori asnaf sedia ada tetapi perlu diberi perhatian.

"Oleh itu, PPZ-MAIWP melalui Khaira PPZ iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut sama ingin membantu kerajaan melalui Musaadah Khaira PPZ," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya menyasarkan bantuan khas tersebut akan dikhususkan kepada keluarga dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40).

"Selain itu, bantuan ini turut disasarkan kepada penjaja, peniaga kecil, pekerja gaji harian dan individu yang terjejas sumber pendapatan (akibat PKP) agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

"Semoga usaha kecil ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembayar zakat di kaunter PPZ-MAIWP boleh menunaikan zakat secara dalam talian menerusi laman web rasmi iaitu www.zakat.com.my sepanjang tempoh PKP ini.