Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada Khamis mengumumkan senarai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang membariskan gabungan calon lama dan baru.

Bagaimanapun, dua anggota exco kanan negeri, Pengerusi DAP Negeri Teresa Kok digugurkan daripada mempertahankan kerusi DUN Kinrara.

Seorang lagi ialah penyandang kerusi DUN Pandamaran, Ronnie Liu yang turut digugurkan.

Sementara PAS, kebanyakannya mengekalkan calon bagi kerusi DUN yang dimenangi pada 2008 kecuali kawasan Gombak Setia.

Kerusi berkenaan dimenangi oleh Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat dari parti itu sebelum ini dan kini diganti oleh Hasbullah Mohd Ridzwan.

Manakala, di peringkat Parlimen, PKR membariskan muka-muka baru seperti Rafizi Ramli bagi Parlimen Pandan dan Dr Abdul Aziz Bari bagi DUN Sabak Bernam.

Tan Sri Khalid Ibrahim pula bertanding di DUN Pelabuhan Klang.

Seperti diramal, kerusi panas Parlimen Shah Alam menyaksikan penyandangnya, Khalid Samad sekali lagi diberi tugas untuk mempertahankan kerusinya.