KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menafikan mempunyai projek perumahan yang didakwa bermasalah di Cherating, Pahang seperti dilaporkan beberapa portal berita.

PR1MA dalam satu kenyataan menjelaskan, ia tidak mempunyai kaitan dengan projek terbabit, sebaliknya projek yang dimaksudkan itu adalah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang yang berada di bawah seliaan Kerajaan Negeri Pahang.

"Untuk makluman, Perbadanan PR1MA Malaysia tidak mempunyai projek di Cherating, Pahang seperti yang dinyatakan di beberapa portal berita," kata kenyataan tersebut hari ini.

PR1MA merupakan agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ia dipertanggungjawabkan untuk membina rumah mampu milik dan meningkatkan pemilikan rumah sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Terdahulu, beberapa media melaporkan kekecewaan pembeli rumah PR1MA di Cherating apabila rumah yang dijanjikan boleh didiami hujung tahun lalu, sehingga kini masih terbengkalai

Mereka mendakwa tempoh pembinaan projek perumahan itu dilanjutkan disebabkan pandemik COVID-19 dan dijadualkan siap pada Ogos depan.

Namun dakwa mereka, perkembangan pembinaannya ketika ini amat perlahan, dengan hanya bahagian lantai bagi empat daripada 108 unit rumah telah disiapkan.