JOHOR BAHRU: Premis perniagaan di bandar raya ini yang masih berdegil 'cop' parkir dengan meletakkan halangan seperti kerusi, baldi dan pemadam api di petak parkir berkupon bakal berdepan kompaun sebanyak RM500.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Mohd Noorazam Osman berkata tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 46 Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Beliau berkata kebanyakan premis perniagaan seperti pusat refleksologi dan kedai aksesori kenderaan dikesan berbuat demikian selepas 6 petang iaitu selepas tamat tempoh kupon.

"Sepatutnya semua premis yang hendak tempah parkir boleh mohon terus kepada MBJB dengan bayaran RM150 sebulan, tetapi tidak ramai buat begitu.

"Kalau tidak letak (halangan) seperti kerusi, mereka letak orang, dari sudut perundangan tidak boleh buat begitu dan tindakan undang-undang boleh diambil," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.

Mohd Noorazam berkata selain isu meletakkan halangan atau 'cop parking' itu, isu ulat parkir terutama di Jalan Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook di sini, turut dikesan.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan menggandakan rondaan dan pemantauan selain melakukan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi mengelakkan sebarang ketegangan berlaku antara pihak premis dan ulat parkir, orang ramai dinasihatkan untuk terus menghubungi MBJB menerusi talian 1300880146 atau WhatsApp unit aduan 019-7788212 bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

Sementara itu, beliau berkata mengatasi masalah kesesakan di bandar raya yang berlaku disebabkan kenderaan diletakkan di tempat yang tidak dibenarkan merupakan antara misi MBJB tahun ini.

Tambahnya, prosedur penguatkuasaan sebelum tindakan menarik kenderaan dibuat akan ditambah baik termasuk memasang siren atau menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan pemilik kenderaan.

Mohd Noorazam berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya menerima 18,038 aduan dengan aduan tertinggi sebanyak 3,617 membabitkan isu pokok tumbang dan berisiko, manakala aduan lain termasuk lampu dan pencahayaan, jalan, pembersihan awam, haiwan perosak dan parkir.

"Daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima pada 2022, sebanyak 13,398 aduan telah diselesaikan iaitu bersamaan 74.28 peratus," katanya.

-- BERNAMA