PUTRAJAYA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini menghubungi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyampaikan ucapan tahniah sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia serta menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala.

Ismail Sabri menerima panggilan daripada Jokowi ketika berada di Yan, Kedah sempena lawatan seharinya ke negeri itu bagi meninjau kesan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang menyebabkan banjir di Kuala Muda dan Yan minggu lepas.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, dalam perbualan kira-kira lima minit antara kedua-dua pemimpin itu, Jokowi menyatakan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia yang terjalin baik selama ini akan terus diperkukuhkan.

"Jokowi turut mendoakan hubungan baik kedua-dua negara terus diberkati Ilahi," menurut Pejabat Perdana Menteri.

Ismail Sabri dalam pada itu memberi komitmen kepada Jokowi itu bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia amat istimewa.

"Ismail Sabri menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia," katanya.

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu. - BERNAMA