KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga keropok di Kampung Losong Su, di sini kerugian kira-kira RM500,000 selepas kedainya musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Rohaimi Mohd, 43, berkata kejadian tersebut disedari ketika beliau memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit selepas bangun dari tidur kira-kira 5.40 pagi.
"Ketika memeriksa CCTV, saya dapati keadaan kedai gelap dan nampak seperti asap tebal. Saya terus mengambil kunci dan bergegas ke kedai yang terletak hanya 50 meter dari rumah.
"Saya berjaya masuk ke pejabat dan cuba tutup suis utama serta padamkan api yang masih kecil menggunakan pemadam api, namun gagal malah rambut dan kulit saya pun terbakar sedikit.
“Dalam masa tak sampai 10 minit, api kian besar dan saya terus keluar selamatkan diri," katanya yang sudah 12 tahun mengusahakan perniagaan itu ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Rohaimi yang mewarisi perusahaan tersebut daripada arwah bapa saudaranya berkata kejadian tersebut menyebabkan barangan jualan termasuk keropok lekor, keropok sejuk beku dan stok keropok keping bernilai RM170,000 yang baru sahaja dibeli daripada pembekal dua hari lepas hangus.
Selain itu, 22 unit peti sejuk dan penyejuk beku, serta sebuah motosikal Yamaha NVX turut musnah dalam kebakaran berkenaan.
"Sekarang ini saya buntu apabila memikirkan nasib keluarga kerana kami bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan keropok untuk menanggung keluarga.
"Setakat ini saya tak dapat fikir apa-apa lagi, hanya dapat berdoa agar Allah tunjukkan jalan keluar daripada musibah ini," katanya.
Rohaimi berkata beliau juga mempunyai empat orang pekerja yang turut bergantung harap kepada perniagaan ini untuk menyara keluarga.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Thoyibbah Taib berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 6.28 pagi sebelum 18 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai keropok jenis separuh kekal dengan anggaran keluasan 60x50 kaki (18.3 x 15.2 meter) dengan kemusnahan sekitar 60 peratus.
“Api dapat dikawal dan berjaya dipadam sepenuhnya pada 6.49 pagi tadi. Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kemalangan nyawa dilaporkan," katanya.
-- BERNAMA