Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan meninggal dunia pagi tadi, kata Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan punca kematian Allahyarham.

"Dukacita dimaklumkan bahawa Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan yang telah berkhidmat sejak tahun 2011, meninggal dunia pagi ini.

"MTUC amat sedih dengan kehilangan tokoh yang paling beribawa dan memberi keutamaan kepada kepentingan dan kebajikan kaum pekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, anak Allahyarham, Liyana Mohd Khalid memberitahu bahawa bapanya telah jatuh di bilik air di sebuah hospital.

"Kami sedang uruskan dokumentasi Allahyarham di Balai Polis dan juga hospital. Kami juga sedang tunggu adik-beradik lain sampai dan jika tidak ada aral melintang, InsyaAllah lepas Zohor jenazah akan dikebumikan," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Khalid, 63, pertama kali dilantik kongres sebagai Presiden pada 2011 dan dilantik semula pada 2013.