Skip to main content

Malaysia

Presiden Myanmar berhasrat hantar lagi kapal tentera laut bawa pulang rakyat

Anwar (kanan) bersalaman dengan Min Aung Hlaing sejurus selepas beliau diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini, bersempena lawatan rasmi dua harinya ke Malaysia bermula semalam. - fotoBERNAMA
Anwar (kanan) bersalaman dengan Min Aung Hlaing sejurus selepas beliau diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini, bersempena lawatan rasmi dua harinya ke Malaysia bermula semalam. - fotoBERNAMA

Advertisement

PUTRAJAYA: Myanmar akan menghantar sebuah kapal tentera laut ke Malaysia bagi mempercepat penghantaran pulang rakyatnya yang kini berada di pusat tahanan imigresen negara ini.

Presidennya, Min Aung Hlaing berkata, penghantaran pulang itu melibatkan individu yang telah menjalani proses pengesahan dan dikenal pasti sebagai warganegara Myanmar.

Menurut beliau, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

"Kami turut membincangkan isu rakyat Myanmar yang berada di pusat tahanan imigresen Malaysia serta penghantaran pulang mereka yang telah disahkan sebagai warganegara Myanmar.

"Kami akan mempercepat proses membawa mereka pulang dan menghantar sebuah kapal tentera laut ke Malaysia bagi tujuan itu.

"Saya turut memohon kerjasama kerajaan Malaysia untuk memudahkan urusan berkenaan," katanya pada sidang media bersama Anwar sempena lawatan rasminya ke Malaysia.

Dalam pada itu, Min Aung Hlaing berkata, kedua-dua negara turut memberikan penekanan terhadap kerjasama tenaga kerja, khususnya berkaitan hak dan kebajikan pekerja Myanmar di Malaysia.

Katanya, Myanmar mengiktiraf sumbangan pekerjanya terhadap pembangunan ekonomi dan infrastruktur Malaysia.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama bagi memastikan pekerja Myanmar mendapat perlindungan keselamatan di tempat kerja, hak sewajarnya serta kebajikan sosial yang lebih baik.

Beliau berkata, kerjasama itu turut meliputi usaha memperkemas saluran pengambilan pekerja secara sah, melindungi mereka daripada eksploitasi serta memastikan perjanjian tenaga kerja dua hala dilaksanakan dengan berkesan.

Sementara itu, Min Aung Hlaing berkata, Myanmar turut komited memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam membanteras penipuan dalam talian, jenayah siber dan pengedaran dadah.

Menurutnya, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan pertukaran maklumat, penyelarasan antara agensi penguatkuasaan serta siasatan bersama bagi menangani jenayah rentas sempadan.

Kerjasama itu turut merangkumi usaha membanteras pemerdagangan manusia dan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran di Myanmar untuk pulang ke tanah air.

Must Watch Video

Advertisement