KUALA LUMPUR:Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memerangi COVID-19, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan awal menerima suntikan vaksin.

Menerusi satu kenyataan di Facebooknya, Abdul Hadi memaklumkan beliau telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Justeru saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin COVID-19 bersama-sama YAB Perdana Menteri, sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik ini.

"Pada masa sama, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

"Fokus utama kita sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih," katanya.

BACA: Perkembangan vaksin COVID-19 di Malaysia

 
Sumber Facebook abdulhadiawang

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas baru-baru ini.

Jelasnya, Khairy akan mengetuai satu Pasukan Petugas Khas bagi menguruskan pelaksanaan program imunisasi itu.

Menerusi program tersebut, kerajaan menyasarkan 70 peratus rakyat akan menerima vaksin pada suku pertama 2021 dengan tumpuan kepada golongan dewasa untuk mencapai imuniti kelompok.