RAUB: Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil didakwa di Mahkamah Sesyen Raub pada Selasa atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

Walau bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan ketika dibaca di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.

Menurut kertas pertuduhan pertama, tertuduh yang juga Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resort dan Restoran didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong pada pukul 2 petang 11 Jun 2021.

Pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub, Pahang pada pukul 2 petang 10 Jun 2021.

Manakala bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Raub, Pahang.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk satu tempoh yang tidak melebihi lima tahun bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Izzat Ikhwan manakala tertuduh diwakili lima peguam diketuai Mohd Arif Mohan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan meminta agar tertuduh tidak mengeluarkan kenyataan mengenai kes ini di luar mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 April ini bagi pendengaran semula serta pengurusan kes dan tertuduh membayar wang jaminan.