MALAYSIA
Presiden Poland tamatkan lawatan rasmi ke Malaysia

Pesawat khas yang membawa Duda, isteri Agata Kornhauser-Duda dan delegasinya berlepas pada 5.10 petang. -Foto Bernama
SEPANG: Presiden Polang Andrzej Duda berlepas ke Singapura hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Ringkasan AI
- Presiden Poland, Andrzej Duda, menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dan berlepas ke Singapura pada 12 Jun 2025, disertai isteri dan delegasi, dengan upacara pelepasan rasmi di KLIA.
- Sepanjang lawatan, Malaysia dan Poland bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, teknologi makanan, digital, tenaga boleh diperbaharui, dan industri halal, selain membincangkan isu serantau dan global termasuk Gaza dan hubungan ASEAN-EU.
- Lawatan ini signifikan kerana berlangsung ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN dan Poland memegang jawatan Presiden Majlis EU, dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat 19.5% kepada RM5.66 bilion pada 2024.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Duta Poland ke Malaysia Krzysztof Dobrowolski hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Poland dan delegasinya.
Semalam, Malaysia dan Poland bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan termasuk meneroka peluang perolehan jangka panjang serta penglibatan strategik antara kementerian pertahanan kedua-dua negara.
Ketika pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang utama lain seperti teknologi makanan, teknologi digital, tenaga boleh diperbaharu dan industri halal.
Anwar turut mengalu-alukan peningkatan pesat dalam perdagangan dua hala apabila perdagangan Malaysia-Poland meningkat sebanyak 19.5 peratus dari 2023 hingga 2024.
Malaysia merakamkan penghargaan kepada Poland atas kesudian menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, khususnya melalui sokongan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan menyalurkan bantuan kecemasan.
Selain isu Gaza, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan global dan serantau yang lebih luas, termasuk pengalaman Malaysia dalam ASEAN, hubungan dengan China dan penglibatan negara dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Semasa lawatannya, Duda turut melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD) di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan dan menyampaikan syarahan awam di Asia-Europe Institute (AEI), Universiti Malaya.
Lawatan itu tepat pada masanya serta signifikan iaitu ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN, dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada separuh pertama 2025.
Pada 2024, Poland ialah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami