Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dijangka antara agenda utama mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, yang sedang berlangsung malam ini.

Mesyuarat, yang akan bermula 8.30 malam tadi, dipercayai akan memutuskan sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 22 Mac depan, dan penamaan calonnya pada 10 Mac ini.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), bekas menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz mengalahkan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa pemimpin BN telah menyuarakan pendapat agar BN tidak bertanding pada PRK DUN Chempaka, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di negeri ini.