PRK Kinabatangan, Lamag: Kempen masuki fasa kedua, pecutan terakhir semua calon

Ahli jentera pilihan raya BN membawa poster calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob, ketika mengiringi calon itu mengadakan tinjauan mesra di Bukit Garam Point. - Foto BERNAMA
KINABATANGAN: Fasa pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag memperlihatkan corak kempen sederhana dengan kebanyakan calon menyenaraikan antara satu hingga lima program sehari.
Ringkasan AI
- Fasa pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menunjukkan corak kempen sederhana, dengan kebanyakan calon menggunakan pendekatan bersemuka dan ceramah kelompok kecil untuk meraih sokongan pengundi.
- Calon-calon menghadapi cabaran geografi yang luas, akses terhad kepada jalan raya, dan kebergantungan kepada pengangkutan air sebagai faktor utama dalam usaha mendekati pengundi di kawasan Parlimen dan DUN tersebut.
- Kempen kini memasuki fasa kedua dengan calon-calon dari Barisan Nasional (BN), Parti Warisan, dan Bebas terus berusaha mendekati pengundi sebelum hari pengundian pada 24 Januari dengan menitikberatkan interaksi langsung dan respons positif masyarakat setempat.
Faktor geografi Parlimen dan DUN yang luas, akses jalan raya terhad serta kebergantungan kepada pengangkutan air di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai antara cabaran utama bagi lima terdiri daripada tiga calon bagi kerusi Parlimen dan dua calon bagi DUN dalam usaha mendekati pengundi.
Kini kempen telah memasuki fasa kedua dan ia merupakan pecutan terakhir buat semua calon untuk mendekati pengundi.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata keutamaannya untuk menziarah kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen berkenaan sebagai langkah memahami denyut nadi masyarakat setempat secara lebih dekat dan setakat ini telah berkunjung ke 19 PDM.
"Setiap teguran dan permintaan penduduk akan dinilai secara teliti sebelum dijadikan dasar tindakan... hanya dengan melihat situasi sebenar barulah perancangan pembangunan dapat dirangka secara tepat dan menyeluruh," katanya kepada Bernama hari ini.
Calon BN bagi DUN Lamag Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali Miha pula berkata kempen yang dijalankan sepanjang seminggu telah menjangkau 80 peratus kawasan DUN.
"Kita kembalikan kepada rakyat untuk menilai corak kempen, namun berdasarkan respons positif yang diterima, ia agak memberangsangkan," katanya.
Sementara itu, calon Parti Warisan (Warisan) bagi Parlimen Kinabatangan Datuk Saddi Abdul Rahman berkata kempennya telah mencapai kira-kira 50 peratus liputan pada minggu pertama dan akan memberi tumpuan kepada kawasan yang belum dikunjungi pada minggu kedua manakala calon Warisan bagi DUN Lamag Mazliwati Abdul Malek pula berkata liputan kempennya telah merangkumi keseluruhan kawasan DUN.
Bagi calon Bebas PRK Parlimen Kinabatangan Goldam Hamid, beliau berkata kempen yang dijalankannya telah meliputi kira-kira 70 peratus kawasan di DUN Sukau dan Lamag.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim ditentang Saddi dan Goldam manakala PRK DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dengan Mazliwati.
Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 10 Jan hingga 11.59 malam, 23 Jan, dan hari pengundian pada 24 Jan manakala undi awal pada 20 Jan ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag adalah sebanyak 48,722 orang merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi kedua-dua PRK berkenaan ialah di Dewan Sri Lamag.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan dengan satu saluran, akan digunakan.
Menurut SPR kesemua pusat mengundi akan dibuka 8 pagi hingga 5 petang, kecuali 20 pusat mengundi di tiga DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau, yang akan ditutup seawal 12 tengah hari hingga 4 petang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


