SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan yang mengatakan MIC tidak akan turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Sebaliknya, beliau berkata, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran ada memaklumkan akan turun membantu kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu esok.

"Tak betul..tak betul, Presiden MIC ada telefon saya, dia cakap akan pergi esok, you dengar dari siapa?" katanya kepada media selepas Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal di sini, hari ini.

Rabu lalu, selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Vigneswaran menegaskan tidak akan terlibat dalam PRK di Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon dari Barisan Nasional (BN).

Dua hari kemudian, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA tuurt membuat keputusan sama sekiranya calon dikemukakan bukan dari BN.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 April serta pengundian awal, 7 Mei.