Pertarungan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan bermula esok, dengan calon utama dijangka antara Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Ketua PKR Rembau Dr S. Streram.

Proses penamaan calon bagi pillihan raya kecil (PRK) DUN tersebut akan berlangsung selama sejam dari pukul 9 pagi esok di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan di sini sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Nizam Tajul Arus mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Dalam PRU14, Mohamad, calon Barisan Nasional (BN), diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram, seorang pakar bius yang menjadi calon harapan Pakatan Harapan (PH), dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.

Setakat ini, kedua-duanya Mohamad dan Dr Streram telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRK itu sebagai calon BN dan PH, masing-masing.

Hari mengundi ialah pada 13 April dan pengundian awal akan diadakan pada 9 April.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.

Daripada sejumlah itu, 11,283 pengundi atau 55.11 peratus adalah Melayu, 3,849 atau 18.80 peratus Cina, 5,336 atau 26.06 peratus India dan empat atau 0.02 peratus lain-lain bangsa.

Pengundi yang berusia antara 40 dan 59 tahun adalah seramai 8,538 orang atau 40.37 peratus, mereka yang berusia antara 21 dan 39, seramai 7,589 atau 36.26 peratus, dan yang berusia 60 dan lebih, seramai 4,799 atau 22.94 peratus.

Rantau adalah satu daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

PH kini memenangi 20 daripada kerusi tersebut manakala BN, 15. PRK Rantau adalah PRK ketujuh sejak PRU14.

Sebelum ini PRK diadakan bagi kerusi negeri Sungai Kandis (4 Ogos tahun lepas); kerusi-kerusi negeri Balakong dan Seri Setia (8 Sept tahun lepas); kerusi Parlimen Port Dickson (13 Okt tahun lepas); kerusi Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan kerusi negeri Semenyih (2 Mac).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini mengeluarkan peringatan yang lazim dikeluarkan sebelum pilihan raya, ditujukan kepada semua bakal calon dan parti-parti politik yang bertanding, mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa pilihan raya.

Dalam satu kenyataannya, beliau berkata mereka harus patuh kepada semua peraturan, undang-undang dan etika pilihan raya sepanjang sempoh berkempen, yang akan bermula selepas proses penamaan calon esok hingga pukul 11.59 malam 12 April.

Azhar Azizan berkata sebarang kegiatan berkempen seperti menganjurkan jamuan makan dan pemberian hadiah dalam bentuk wang tunai dan barangan untuk memancing undi adalah menjadi kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau juga berkata sebarang tindakan atau kenyataan yang membawa maksud menghalang seseorang pengundi daripada menunaikan haknya untuk mengundi secara bebas, juga satu kesalahan.

Azhar Azizan menasihati mereka yang berkempen agar mematuhi etika untuk memelihara keharmonian masrakat."Mereka harus patuh kepada arahan-arahan pihak berkuasa, terutama SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan pelanggaran mana-mana peraturan pilihan raya, dinasihati melaporkannya kepada pihak berkuasa," kata beliau.