Seorang penganalisis politik hari ni berpendapat, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, merupakan satu pilihan raya kecil yang penting bagi Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin dari UiTM berkata ia penting kerana bagi PAS, kerusi itu merupakan kerusi yang telah disandang oleh parti itu sendiri iaitu Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

“Bagi UMNO pula, mereka pernah menjadi wakil rakyat situ selama dua penggal dan ia merupakan satu isu menarik jika mereka boleh merampas balik kerusi itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Shaharuddin, calon-calon kali dipilih dengan berhati dan kedua-dua mereka mempunyai persamaan iaitu sebagai pendidik, orang tempatan dan juga ahli yang bergerak dalam parti politk masing-masing.

Katanya satu lagi kriteria yang penting yang dimiliki oleh kedua-dua calon ialah mereka merupakan calon tidak meninggikan diri.

Di samping itu, Shaharuddin juga menjangka bahawa isu nasional seperti isu kalimah Allah dan isu berkaitan Melayu Islam akan diketengahkan dalam ceramah mereka selain isu-isu tempatan seperti kegiatan ekonomi dan sebagainya.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.

BN diwakili bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Suhaimi Lazim, 52 tahun, yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jerai.
Manakala PAS pula diwakili oleh ketua pemuda Jerai, Mohd Azam Samat, 37 tahun, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.

Pusat penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Limau di Dewan Dato' Madi yang mula dibuka jam 9 pagi berjalan lancar.

Pegawai pengurus PRK DUN Sungai Limau, Abdul Rashid Othman mengesahkan penerimaan borang pencalonan dan berpuas hati dengan borang yang dikemukakan kedua calon.

Kedua-dua calon kini mempunyai tempoh selama 11 hari untuk berkempen di kawasan tersebut sebelum hari pembuangan undi pada 4 November.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Tan Sri Azizan Razak, yang merupakan penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 1995.

DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dengan 30 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.