JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini sebagai cabaran hebat bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga parti lain untuk meraih sokongan kira-kira 700,000 pengundi baharu.

Ahmad bagaimanapun berkata UMNO sudah bersedia menghadapi cabaran itu.

"Memang ia (pertambahan pengundi baharu) satu (perkara) yang mencabar tetapi dalam politik, cabaran itu adalah satu perkara yang kami kena hadapi.

"Ia tidak bererti hanya mencabar kepada UMNO tetapi juga kepada parti lain. Tidak semestinya bila kita sebut pengundi muda, dia akan sokong pembangkang dan pihak pembangkang pun tak boleh menyatakan pengundi muda mesti sokong mereka (kerana) semua parti melihat ini sebagai satu cabaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini semalam.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata terdapat dua kategori pengundi baharu iaitu golongan berumur 18 hingga 20 tahun dan kategori berumur 21 tahun dan ke atas namun tidak pernah mengundi.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kesediaan parti itu bekerjasama dengan UMNO pada PRN Johor, beliau berkata setakat ini tiada permohonan rasmi diterima daripada Pas.

"Belum ada sebarang keputusan dan tidak ada permintaan secara rasmi daripada Pas, kita melihat apa yang berlaku di Melaka. Setakat ini, itulah yang kita akan lakukan di Johor," katanya.

Mengenai kehadirannya ke mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor semalam, Ahmad berkata beliau mewakili UMNO Pusat dan memberi jaminan pihaknya telah bersedia untuk turun padang sekiranya PRN Johor diadakan.

Semalam, Tuan Ibrahim membayangkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) akan diteruskan pada PRN Johor dan akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat.

-- BERNAMA