JOHOR BAHRU: Selepas berkenan menerima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap pada 15 Feb lepas, hari ini giliran Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula diberi perkenan menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Chin Tong berkata, beliau menjunjung kasih atas perkenan Tunku Mahkota Johor menerimanya menghadap pada petang tadi, selaras dengan siri pertemuan Tuanku dengan para pemimpin parti-parti politik untuk mendengar pandangan mereka.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, Tunku Ismail nyata mempunyai wawasan yang baik untuk masa depan federalisme Malaysia.

“Impian DYAM Tunku Mahkota Johor ialah untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri diberi peranan yang lebih besar, terutamanya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.

“Wawasan jangka panjang Tunku Mahkota Johor patut dikongsi bersama oleh para pemimpin politik tanpa mengira parti demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.


Chin Tong berkata, beliau berpandangan bahawa sruktur pentadbiran negara ini terlalu dipusatkan dengan tahap birokrasi yang tinggi.

Pada masa ini, katanya lagi, Kerajaan Pusat menguasai hampir semua bidang kesihatan dan pendidikan serta banyak lagi bidang pentadbiran lain.

“Tetapi kesemuanya jauh daripada keperluan Bangsa Johor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Kerajaan Pusat juga mengutip semua cukai pendapatan. Apabila Malaya merdeka, sumber utama pendapatan kerajaan datangnya daripada sumber asli, khususnya timah dan getah.

“Dari sudut sejarah, memang wajar negeri dapat berkongsi hasil daripada sumber alam dan tanah yang telah dikutip cukainya oleh Pusat,” katanya lagi.

Tetapi hari ini, Chin Tong berkata, cukai pendapatan telah menjadi sumber utama pendapatan kerajaan.

Beliau berkata, perlu ada peratusan tertentu daripada cukai pendapatan – untuk kedua-dua cukai peribadi dan syarikat – yang dikutip dari Johor yang perlu diberikan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Johor pula, berhak mendapat autonomi untuk mentadbir bidang kesihatan dan pendidikan, serta diberi lebih hak dalam pengurusan pembangunan ekonomi.

“Semoga Tunku Mahkota Johor serta kerabat Diraja berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya lagi.

Difahamkan, untuk siri pertemuan yang seterusnya Tunku Ismail telah memberi perkenan untuk menerima kunjungan Pengerusi Pakatan Harapan, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang Sabtu.