Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Laporan RCI Tabung Haji bukti keperluan perangi rasuah, urus tadbir lemah - PM

PMX, Sikamat
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Jemaah Menteri mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan ketelusan serta memperkukuh tadbir urus negara. - Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Jemaah Menteri mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan ketelusan serta memperkukuh tadbir urus negara.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata laporan itu wajar diteliti rakyat kerana mengandungi dapatan mengenai kelemahan pengurusan yang didakwa mengakibatkan kerugian mencecah RM12 bilion.

Menurutnya, kerajaan sejak awal pentadbirannya berpegang kepada prinsip memerangi rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira individu yang terlibat.

“Jemaah Menteri bersetuju untuk menyebarkan penuh laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Tabung Haji. Baca, telaah betul-betul. Sebab itulah, sejak mula saya jadi Perdana Menteri, saya kata kena jaga negara ini. Jaga tata-kelola, jangan bagi orang sakau. Oh, ada yang marah, "Mana sakau? Mana bukti sakau?"

“Bacalah laporan Tabung Haji. Berapa hilang? RM10 bilion campur RM2 bilion, jadi RM12 bilion. Aiyoh, pening kepala saya. Apa negara ni? Ini negeri siapa ni? Negeri apa macam ini? RM12 bilion,” katanya semasa berucap di Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan, di sini, pada Rabu.

Anwar berkata siasatan lanjut perlu dijalankan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia  (BNM) serta pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan sebarang unsur pelanggaran undang-undang.

Beliau menegaskan isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan atau dijadikan sentimen perkauman kerana ia melibatkan wang pendeposit TH, khususnya umat Islam.

Anwar juga menggesa rakyat membuat pilihan yang bijak pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) dengan memilih kepimpinan yang mengutamakan integriti dan tadbir urus yang baik.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sambil mengakui tiada pemimpin yang sempurna, namun menegaskan usaha untuk mentadbir dengan amanah dan bertanggungjawab perlu menjadi keutamaan.

Katanya, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat salah laku, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses siasatan dan tindakan mengikut undang-undang.

“Saya datang malam ini bukan nak memusuhi orang. Saya nak merayu orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Asli. Apa dia? Buatlah keputusan yang baik. Tak ada yang sempurna, saya sokong Aminuddin (Datuk Seri Aminuddin Harun) sebagai Menteri Besar, banyak kebaikan.

“Sempurna? Tidak. Saya minta kawan-kawan sokong saya, saya sempurna? Tidak. Banyak kelemahan, banyak kekurangan. Tapi kita cubalah buat sehabis baik,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement