KUALA LUMPUR: Polis menerima sebanyak empat laporan berhubung isu keselamatan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya telah memanggil individu yang mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu untuk diambil keterangan hari ini serta empat lagi yang membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

"Kita panggil individu terlibat untuk perjelas apa sebenarnya yang dimaksudkan semasa ceramah baru-baru ini dan empat orang yang membuat laporan juga telah selesai diambil keterangan," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang berakhir pada 5 petang tadi.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Fisol turut memaklumkan setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan isu keselamatan atau ancaman terhadap mana-mana calon, penyokong parti bertanding mahupun orang awam.

"Bagaimanapun, polis sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan di lapangan... setakat ini, tiada provokasi atau kes pergaduhan dan kita hanya terima 246 laporan polis melibatkan kes seperti koyak poster dengan 18 kertas siasatan dibuka," katanya.

Semalam, tular di media sosial video memaparkan ucapan seorang Ahli Parlimen di Kedah (Alor Setar) yang mendakwa Muhammad Sanusi tidak menghadiri ceramah Mega Perikatan Nasional di Padang Awam Sungai Petani pada Ahad malam lepas disebabkan faktor keselamatan.

Di TERENGGANU, sebanyak 232 laporan polis diterima sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka dan tujuh daripadanya telah dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut manakala tiga masih dalam siasatan.

"Kebanyakan laporan melibatkan kes khianat bahan kempen seperti merosakkan bendera serta poster calon dan belum melibatkan sebarang tangkapan, hanya satu laporan melibatkan calon bertanding diterima setakat ini iaitu calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik pada 4 Ogos lepas," katanya pada sidang media di IPK Terengganu hari ini.

Di PULAU PINANG, polis membuka 12 kertas siasatan melibatkan lapan kes khianat merosakkan poster, bendera dan kain rentang parti politik, dua berkaitan fitnah dengan niat memanipulasi calon parti yang bertanding dalam media sosial TikTok.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata polis turut menyiasat kes berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan kes curi membabitkan kehilangan bendera serta kain rentang pilihan raya oleh satu parti politik.

"Kesemua kes berkenaan adalah dalam tempoh bermula hari pertama pada 29 Julai lepas hingga tengah malam tadi," katanya.

PRN Sabtu ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Turut diadakan serentak ialah Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu.

-- BERNAMA