Semua calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini tidak akan menggunakan logo parti sendiri, sebaliknya menggunakan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pemangku Pengerusi DAP Negeri, Datuk Frankie Poon berkata ini adalah untuk melambangkan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan parti gabungan Warisan Plus.

"Walaupun kami agak sedih untuk tidak menggunakan lambang parti iaitu roket dan sebaliknya menggunakan lambang Warisan tetapi ini adalah tindakan yang betul," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Poon berkata DAP secara kolektif memutuskan untuk menerima cadangan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menggunakan logo yang sama.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah, PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

PRN Sabah akan menyaksikan sejumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 13 kerusi baharu dipertandingkan dengan hari penamaan calon, Sabtu ini.

-- BERNAMA