Bidang kuasa bagi menghentikan sepenuhnya isu lambakan warga asing adalah hak kerajaan Persekutuan, tegas Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Menurut beliau, isu kebanjiran warga asing telah berlaku sejak sekian lama dan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) pula sentiasa komited mengatasinya.

"Ini adalah tanggungjawab bersama, kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan adalah perlu bagi menangani isu lambakan warga asing.

"Bukan itu sahaja, dengan kuasa yang ada di peringkat kerajaan Persekutuan, isu peluang pekerjaan yang dimonopoli warga asing juga akan tamat.

"Ini bukan baru berlaku dua tahun lepas, ini isu yang sudah begitu lama terutama di kawasan DUN Api-Api," katanya ketika melakukan kunjungan dan mengedarkan poster kempen di premis-premis perniagaan di Jalan Gaya, di sini hari ini.

LAPOR LANGSUNG: Proses penamaan calon PRN Sabah

SABAH MEMILIH: Penamaan calon PRN Sabah (KLIK DI SINI)

Christina yang juga calon PKR bagi kerusi itu menegaskan, sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Warisan, tindakan ke arah menangani isu terbabit sudah dirancang dan hanya menunggu pelaksanaannya.

"Bukan sahaja berkenaan isu peluang perkerjaan yang telah kita rancang dalam tempoh dua tahun ini malah kita telah lancar rangka tindaka untuk lima tahun dan ia akan memakan masa sehingga lima tahun untuk projek pembangunan di seluruh Sabah," jelas beliau lagi.

Christina mengulangi kenyataan sebelum ini yang mahukan satu keputusan tuntas diberikan oleh kerajaan Persekutuan dalam menangani isu warga asing.

"Apa yang saya cakap sekarang ini tidak akan memberi apa-apa makna sehingga satu perbincangan khusus dibuat antara kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.