Parti Liberal Demokratik LDP mengesahkan akan bertanding di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung 26 September ini.

Presidennya, Datuk Chin Su Phin berkata ini adalah perjuangan sulung parti itu tanpa bergabung dengan mana-mana parti selain akan menampilkan 80 peratus calon muda di lebih 40 kerusi DUN terbabit.

"Selepas 31 tahun, LDP hari ini ingin mengumumkan akan bertanding di lebih 40 kerusi DUN pada PRN nanti. Berbanding sebelum ini, parti ini terpaksa mengalah dalam pengagihan kerusi dan telah dilabel sebagai parti kaum cina kerana dikekang oleh Barisan Nasional (BN) yang menerajui parti komponennya.

"Justeru hari ini LDP mahu seluruh rakyat Sabah tahu bahawa objektif perjuangan sebenar LDP bukanlah kepada satu kaum sahaja sebaliknya untuk semua bangsa dam agama di negeri ini.

"Bagi membawa pembaharuan dalam pentadbiran negeri ini, LDP akan menampilkan lebih 80 peratus calon muda," katanya dalam ucapan di majlis memperkenalkan calon-calon LDP di Kota Kinabalu pada Khamis.

Sementara itu Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat dalam ucapannya turut menyatakan bahawa beliau akan kembali aktif dalam perjuangan parti.

Kah Kiat yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau kembali ke arena politik selepas mahu membawa perubahan akibat muak dengan cara pentadbiran negeri dan persekutuan.

"Ia termasuk dengan cara berpolitik parti-parti yang ada di sabah yang begitu gemar melompat parti.

"Sebab itu saya mahu menyeru kepada seluruh rakyat Sabah agar tidak hanya mengutuk perbuatan melompat parti oleh wakil-wakil rakyat ini, malah mengutuk pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti yang menerima mereka-mereka ini."katanya.

Pada sesi pengenalan calon-calon tersebut, Janrywine J Lusin yang merupakan seorang penyanyi tempatan sabah yang popular dengan lagu "Macam Di KK" disenarai sebagai antara 80 peratus calon muda yang bakal ditampilkan LDP pada PRN nanti.