Keputusan sama ada pengundi sah yang positif COVID-19, termasuk anggota polis, dibenarkan menunaikan tanggungjawab mengundi atau tidak, akan ditentukan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.

Bagaimanapun, jelasnya, mesyuarat dan perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang dilakukan bagi mencapai kata putus.

“SPR masih menunggu keputusan Kerajaan Pusat mengenai kedudukan terkini sama ada individu yang positif COVID-19 boleh atau tidak (mengundi).

“Saya percaya keputusan akan dibuat secara rasmi dalam waktu terdekat,” katanya selepas mengadakan lawatan di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Sabah, di sini, hari ini.

Ditanya sekiranya ada tarikh lain untuk membenarkan pesakit positif COVID-19 ini membuang undi, kata Abdul Ghani, ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.

“Seperti yang saya katakan tadi, SPR hanya menyelaras pilihan raya. Keputusan membenarkan itu tertakluk kepada bidang kuasa MKN dan KKM,” tambahnya.