Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan memberi lebih perhatian di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula esok hingga tamat pilihan raya.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata kawalan keselamatan di kawasan sensitif tersebut masih sama seperti kawasan lain namun pihaknya lebih bersedia jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Jangan salah faham, 20 kawasan sensitif ini bukanlah kawasan sasaran yang akan berlakunya perkara yang tidak diingini.

"Kita akan memberi perhatian lebih di 20 kawasan ini. Kawalan keselamatan masih sama dengan kawasan lain. Bermakna kita lebih bersedia jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini," katanya selepas menyampaikan Amanat Penugasan Pilihanraya DUN Sarawak ke-11 kepada 1600 pelatih dan anggota Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching di sini hari ini.

Zulkifli bagaimanapun enggan mengemukakan senarai 20 kawasan sensitif tersebut sebaliknya menyerahkan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohammad Sabtu Osman untuk mengumumkan kawasan-kawasan tersebut.

Berhubung penugasan anggota PDRM, Zulkifli berkata sejumlah 7,000 anggota pelbagai pangkat akan ditempatkan di semua 82 DUN pada hari penamaan calon, esok.

"Selain itu, 1,600 pelatih dan anggota PULAPOL Kuching turut ditugaskan. Menjelang hari pengundian, keanggota kita akan mencecah sehingga 10,000 anggota termasuk 2,000 anggota yang dibawa dari Semenanjung Malaysia dan Sabah," katanya.

Selain berpuas hati dengan persiapan PDRM menjelang PRN Sarawak ke-11, Zulkifli turut menegaskan bahawa PDRM kini bersedia sepenuhnya untuk bagi pilihan raya tersebut.