Penggunaan maskot untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak oleh DAP dan PKR diumpama hiburan kosong yang tidak boleh dipercayai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, ia juga diibarat umpan untuk mengelirukan pengundi terutama dalam media sosial.

"Ia hanya cubaan untuk menarik perhatian janji kosong kepada pengundi di negeri itu sendiri. Paling penting saya ingin mengingatkan orang awam untuk melihat isu ini dari segi bukan dari kulitnya, maksudnya ini hanya luaran, lagu itu kulit, maskot itu kulit, kita mahu tahu isinya," semasa ditemui selepas merasmikan Majlis Jalinan Tani 'Lan Berambeh' bersama Komuniti Bako di sini hari ini.


Sebelum ini, PKR mengumumkan menyertai perang maskot dalam PRN Sarawak dengan memperkenalkan maskot badak sumbu Borneo.

Pada PRN Sarawak ke-10, DAP memilih burung enggang yang dinamakan mereka sebagai 'Ubah'.

Bagaimanapun, pemilihan maskot seekor lebah kuning bersaiz gergasi dengan tagline 'We Can Bee' oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap sebagai simbol perpaduan rakyat negeri itu sendiri.

Wilfred sebelum ini dilaporkan turut mengkritik maskot DAP dengan menegaskan 'burung merupakan haiwan individualistik'.