SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengemas kini sistem bagi memastikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini diumumkan seawal mungkin.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh penambahbaikan itu dilakukan bagi membolehkan keputusan diumum lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Kita dalam proses update (kemas kini) sistem kita yang ada.

“Kalau boleh (keputusan diumumkan) seawal yang boleh. Kita berdoa diawalkan daripada masa lepas macam penamaan calon (29 Julai lalu) dapat kita awalkan,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau ditemui selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Dalam masa sama, Abdul Ghani berkata setakat tinjauan pada pagi tadi, peratusan keluar mengundi di enam negeri merekodkan peratusan berbeza-beza.

Begitupun, beliau yakin peratusan keluar mengundi boleh mencapai tahap yang tinggi melebihi peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Di peringkat kita memang kita galakkan semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

“Kita amat berharap peratusan keluar mengundi melebihi daripada PRU lepas, biarlah lebih tinggi daripada itu,” ujarnya.

Lebih 9.67 juta pengundi biasa akan menjalankan tanggungjawab dalam PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan.

Sementara, seramai 97,388 tentera, polis serta pasangan masing-masing terlibat dalam undi awal hari ini.

Pada PRU15 lalu, peratusan keluar mengundi merekodkan 94.7 peratus berbanding pilihan raya sebelumnya.