MELAKA: Ketua Jurulatih Melaka FC E. Elavarasan berkata pasukan itu perlu mengatasi kelemahan pada minit akhir permainan selepas sekali lagi dibolosi pada penghujung aksi sehingga tewas 1-2 kepada Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, malam tadi.
Elavarasan berkata perhatian segera perlu diberikan kerana kesilapan sama turut berlaku ketika pasukan itu menentang Selangor sebelum ini.
“Memang kita kecewa kena gol (lawan) pada minit terakhir dan ini kali kedua. Kita kena perbaik kelemahan ini secepat mungkin kalau hendak pergi jauh dalam liga kerana setiap pasukan semakin baik menjadikan saingan kali ini lebih kompetitif,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Elavarasan berkata Melaka FC terus berusaha mendapatkan gol penyamaan selepas dikejutkan dengan gol pasukan pelawat, namun selepas berjaya menyamakan kedudukan, pemain seharusnya menumpukan aspek pertahanan pada penghujung permainan.
“Bila kita berjaya memperoleh gol penyamaan, kita sepatutnya tumpukan lebih untuk bertahan kerana hanya tinggal beberapa minit terakhir. Itu satu kesilapan sangat besar untuk perlawanan ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, Kuching City FC membuka jaringan menerusi Jerome Etame pada minit ke-27 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Do Donghyun pada minit ke-90 namun jaringan minit terakhir masa kecederaan oleh Wanja Ronald Ngah memastikan kemenangan 2-1 pasukan pelawat.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak memuji komitmen pemainnya yang terus mengasak pasukan tuan rumah untuk memastikan kemenangan walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah pada minit ke-55 perlawanan.
Beliau turut menyifatkan jaringan Wanja Ronald Ngah sebagai istimewa kerana pemain itu menjaringkan gol kemenangan pada hari lahirnya.
Aidil Sharin berkata akan memastikan Kuching City menjalani tempoh pemulihan secukupnya sebelum aksi seterusnya walaupun tidak mempunyai tempoh lama kerana perlu segera membuat persiapan untuk penampilan sulung dalam saingan ACL di Kemboja.
Kemenangan 2-1 itu menyaksikan Kuching City FC kekal di tangga kedua liga selepas mengumpul 12 mata manakala Melaka FC di tangga kesepuluh dengan tiga mata.
– BERNAMA