Profesion teknikal tunjang pembangunan negara - Nanta Linggi

Nanta (tiga, kanan) bersama Menteri Besar Johor Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga, kiri) melakukan gimik perasmian Sambutan HPTN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Profesion teknikal perlu terus diberi keutamaan sebagai agenda strategik negara bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era teknologi digital dan teknologi baharu.
Ringkasan AI
- Profesion teknikal perlu diberi keutamaan sebagai agenda strategik negara bagi kekal berdaya saing dalam era teknologi digital dan baharu.
- Jurutera, arkitek, pakar teknologi, dan profesional lain memainkan peranan penting dalam pembangunan negara serta menentukan hala tuju masa depan negara.
- Penggunaan teknologi seperti IoT, AI, VR, dan Data Raya diperlukan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembelajaran dan pengurusan, sambil menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Generasi muda perlu melihat bidang teknikal sebagai platform untuk melahirkan daya cipta inovatif yang mampu menjadi pemangkin kepada penyelesaian permasalahan manusia dan dunia.
"Seiring Revolusi Perindustrian Ke-4, negara perlu melangkaui pendekatan tradisional dengan mengadaptasi teknologi seperti IoT, AI, VR, dan Data Raya bagi meningkatkan kecekapan, analitik serta keberkesanan sistem pembelajaran dan pengurusan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) di Persada Johor International Convention Centre, di sini hari ini.
Tambah beliau, inovasi termasuk robotik, Sistem Binaan Berindustri (IBS), dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) terus mentransformasi sektor pembinaan negara dengan tahap keselamatan, ketepatan, dan produktiviti yang lebih tinggi, sekali gus memacu pembangunan yang lebih pintar, mampan, dan kompetitif.
Namun, beliau menegaskan bahawa teknologi hanya bermakna jika ia berteraskan hikmah dan kepedulian terhadap rakyat.
"Apalah gunanya kecanggihan teknologi jika ia tidak menambah baik kehidupan rakyat? Apalah ertinya inovasi jika ia tidak menginsankan pembangunan?" katanya sambil menambah bahawa pembinaan modal insan teknikal yang seimbang dan cerdas akal kekal menjadi keutamaan.
Beliau turut berkata pemilihan Johor sebagai tuan rumah Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan negeri itu sebagai hab ekonomi, industri, dan teknikal yang sedang berkembang pesat.
"Pada 2025, Johor menerima peruntukan RM11.43 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk RM10.24 bilion bagi projek pra-pembinaan dan pembinaan, serta RM1.19 bilion untuk penyenggaraan jalan, bangunan, dan cerun.
"Dengan peruntukan ini, kita bukan sahaja membina dan menyenggara, tetapi lebih penting, kita mencorak masa depan Johor yang kukuh demi kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan negeri dan negara secara berterusan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan dengan Menteri Besar Johor pada 26 Nov lepas telah membuka ruang kerjasama strategik, khususnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Kolaborasi ini akan memastikan setiap projek dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berkesan, sekali gus memberikan impak maksimum kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


