KUALA LUMPUR:
Universiti Taylor’s melantik Profesor Barry Winn sebagai Naib Canselor dan Presidennya yang terbaharu, membawa pengalaman lebih empat dekad dalam kepimpinan pendidikan tinggi, kajian dan pembangunan akademik.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Pendidikan Taylor’s, Datuk Loy Teik Ngan menyambut mesra ketibaan Profesor Winn ke dalam keluarga Universiti Taylor’s.

“Kami berbesar hati untuk memiliki Profesor Winn sebagai Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor’s yang baharu.

“Pengalaman luar biasa dan kepimpinan berwawasannya senada dengan komitmen kami untuk memupuk keunggulan dalam pendidikan.

“Kami teruja untuk menyaksikan impak transformatif yang bakal dibawa beliau, mengemudi Universiti Taylor’s ke tahap kejayaan dan inovasi yang lebih tinggi.”

Profesor Winn mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam kepimpinan pendidikan tinggi.

Ketika menggalas jawatan Naib Canselor Universiti Sohar di Oman dari 2015 hingga 2022, universiti tersebut berkembang pelajarnya kepada 7,000 orang dan kakitangan akademik yang dedikasi seramai 180 orang.

Profesor Winn juga sebelum ini memegang jawatan penting di institusi bereputasi yang mana beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor untuk Pembangunan Akademik di Universiti Bradford, dan sebelum itu menjadi Pro Naib Canselor untuk Kajian dan Perusahaan di Universiti Hull.

Peranannya lebih awal sebelum itu termasuk Dekan School of Life Science di Universiti Bradford.

Sebagai respon kepada visinya untuk Taylor’s, Profesor Winn berkata, “Saya akan memastikan kami terus meletakkan sasaran tinggi untuk membolehkan Taylor’s mencapai potensi penuhnya dan menjadi peneraju global dalam pengajaran progresif dan inovatif, kajian, dan pemindahan pengetahuan.

“Visi untuk dekad seterusnya adalah meletakkan Taylor’s sebagai sebuah institusi terkemuka dunia, dilengkapkan untuk mengatasi cabaran dunia moden.

“Untuk mencapai matlamat ini, kepimpinan saya akan mengetengahkan usaha mewujudkan persekitaran kampus yang positif, menjadikan Taylor’s sebuah institusi pilihan untuk komuniti pelajar dan kakitangan yang pelbagai.”

Sumbangan Profesor Winn terhadap kajian juga wajar diberi perhatian, yang mana senarai penerbitannya merangkumi lebih 100 artikel jurnal tersemak dan tiga bab buku, mencerminkan komitmennya dalam memajukan pengetahuan dalam bidang sains optik dan penglihatan.

Beliau juga menyumbang kepada standard akademik melalui peranannya sebagai pengulas untuk Agensi Jaminan Kualiti (UK) dan Pihak Berkuasa Akreditasi Akademik Oman (OAAA) juga menjadi pemeriksa luar untuk program ijazah dan lepasan ijazah serta PhD di beberapa universiti serata dunia.

Kedudukannya dalam komuniti kajian digariskan dengan keahlian berprestij, termasuk menjadi Felo Royal Society of Medicine (2003) dan American Academy of Optometry (2001).

Peranan Profesor Winn sebagai Ahli Lembaga Penasihat Majlis Penyelidikan Perubatan dan hubungannya dengan beberapa yayasan kebajikan global menunjukkan dedikasinya untuk memajukan kajian dalam sains kesihatan dan hayat.