KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa cadangan mengenai Jana Wibawa telah dibawa ke mesyuarat untuk pertimbangan sebelum Jemaah Menteri memutuskan supaya program itu diteruskan pada 2020.

Projek Jana Wibawa, atau Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, diperkenal ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff, 52, berkata demikian selepas disoal peguam Amer Hamzah Arshad pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Amer Hamzah: Adakah kamu setuju terdapat cadangan daripada Menteri Kewangan ketika itu (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) kepada mantan Perdana Menteri (Muhyiddin) untuk melaksanakan program Jana Wibawa dan mantan Perdana Menteri ada meminitkan perkara itu pada 3 Ogos 2020 berhubung persetujuan beliau untuk mempertimbangkan program Jana Wibawa?

Rosni: Ya, setuju.

Amer Hamzah: Susulan cadangan tersebut, program Jana Wibawa kemudian dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Rosni: Setuju.

Saksi pendakwaan ketiga itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Jemaah Menteri telah mempertimbang cadangan daripada Menteri Kewangan dan mengesah serta memutuskan untuk meneruskan program berkenaan pada 13 Nov 2020.

Rosni, yang kini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Strategi Badan Berkanun, turut bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa Jana Wibawa hanya boleh dilaksana apabila Jemaah Menteri memberi persetujuan.

Beliau berkata terdapat dua cara untuk melaksanakan program Jana Wibawa iaitu menerusi rundingan terus dan tender terbuka prakelayakan.

Pada prosiding sebelum ini, Rosni berkata Pejabat Perdana Menteri yang menentukan sama ada kelulusan projek Jana Wibawa adalah melalui rundingan terus atau tender terbuka prakelayakan.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara selain memindahkannya ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.

-- BERNAMA