MUAR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat Program Jom Ke Sekolah di Pagoh, Johor hari ini.

Program itu mendapat sokongan penuh Mara di kawasan Parlimen Pagoh dan akan memberi manfaat kepada pelajar- pelajar B40 yang terpilih di sekitar kawasan Parlimen itu.

Dalam lawatan ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menerima replika cek bernilai RM240,000 oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin sebagai bantuan kapada Program CSR Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara.

Ia melibatkan empat inisiatif iaitu Program Bantuan Persekolahan Khas (pelajar miskin B40), Program Bantuan Awal Persekolahan Back to School, Program Skim Anak Angkat dan Program Celik Al-Quran.

Perdana Menteri berkata dengan bantuan ini diharap ia dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Dengan sumbangan ini pelajar yang berada di bawah Parlimen Pagoh akan mendapat sedikit kemudahan untuk membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dalam bidang pendidikan yang berada di kawasan Pagoh ini. Inisiatif ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu bapa dengan bantuan yang telah diperuntukkan di bawah program ini,” katanya.

Sasaran program melibatkan seramai 1,000 pelajar dan agihan bantuan akan diselaraskan oleh pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pagoh dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Muar.