LARUT: Program Jelajah Kita Demi Negara akan diperluas ke seluruh negara bagi menimbulkan kesedaran lebih ramai rakyat mengenai tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan negara.

Tanggungjawab itu bukan hanya terletak kepada agensi kerajaan semata-mata, tetapi harus dipikul bersama.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program jelajah Kita Demi Negara adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Kalau kita dapat memaklumkan kepada rakyat seluruh negara, maka kita yakin bahawa keselamatan itu mereka faham adalah merupakan tanggungjawab kita bersama.

"Demi untuk menjaga keselamatan, bukan hanya kita serahkan kepada agensi-agensi tetapi kita mahu supaya mereka juga bersama membantu menjadi mata dan telinga. Semua ni adalah merupakan tanggungjawab masa depan kita yang lebih aman dan sejahtera,” katanya.

Beliau ditemui selepas menutup program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Perak, pada Ahad.

Program dua hari itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung di samping 2,000 daripada mereka telah mendaftar sebagai Sahabat KDN.

Selepas ini, program itu akan diteruskan ke negeri Johor sebelum ke Sabah dan Sarawak.