Program motivasi rumah tangga: Pasangan suami isteri didakwa langgar Akta Kaunselor 1998

Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 terhadap Shazifh dan RM5,000 terhadap Munira dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor 1998 berkaitan penganjuran sebuah program motivasi rumah tangga di Shah Alam, tahun lepas.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri, Shazifh Osman dan Munira Hishamshah, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan melanggar Akta Kaunselor 1998 berkaitan penganjuran program motivasi rumah tangga tanpa pendaftaran sebagai kaunselor.
- Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan; mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 untuk Shazifh dan RM5,000 untuk Munira.
- Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 November bagi serahan dokumen dan lantikan peguam; pasangan itu didakwa menjalankan aktiviti kaunseling di pusat konvensyen Shah Alam antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 22(1)(a) Akta Kaunselor 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Peguam Alhirzan Mahamad Akhir, yang mewakili pasangan itu, memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya hanya mampu menyediakan RM3,000 kerana perniagaan klinik mereka merudum dan Munira menanggung ibunya yang menghidap kanser payudara.
Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 terhadap Shazifh dan RM5,000 terhadap Munira dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah.
Sebutan kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 24 Nov ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami