Sejak November 2011, kanak-kanak dan warga tua dari 40 rumah kebajikan di Lembah Klang telah menerima roti serta pastri berkualiti tinggi dimana kesemuanya datang daripada hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Program ini adalah hasil inisiatif Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia, dimana sasarannya adalah untuk menyediakan satu platform yang dapat menggerakkan individu serta sektor korporat menyumbangkan secara bersama bekalan roti dan pastri kepada golongan yang memerlukannya.

Program ini juga telah menjalani tempoh percubaan selama empat bulan sebelum menerima pengiktirafan dan sokongan sepenuhnya dari Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat.

Pengerusi Roti 1Malaysia, Datuk Anne Eu berkata, beliau yakin bahawa selain dari hotel sedia ada, 10 lagi hotel akan turut serta dalam program ini dimasa terdekat dimana ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai warga kurang berkemampuan.

Bersesuaian dengan matlamat murni ini, Program Roti 1Malaysia telah dilancarkan secara rasmi siang tadi oleh isteri perdana menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Perasmian turut dihadiri oleh kanak-kanak dan warga tua dari rumah-rumah kebajikan yang menerima sumbangan roti dan pastri.