Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kedah yang belum pernah memanfaatkan Program Saringan Prihatin (PSP) layak untuk menjalani saringan COVID-19 di bawah program tersebut.

Menurut Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus, majikan boleh menuntut RM150 bagi setiap ujian yang dilakukan oleh pekerja mereka.

"Mereka boleh menghubungi panel makmal kami bagi menjalankan ujian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan PSP yang diperkenalkan pada April lalu dibuka kepada semua pencarum di Kedah bagi melakukan saringan susulan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.

Dalam pada itu, Azlan berkata agensi itu menyambut baik cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk membuka program saringan COVID-19 kepada semua pencarum berinsurans Perkeso di Kedah bagi membantu memutuskan rantaian penularan virus itu.

Pada Khamis lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di 28 mukim di daerah Kota Setar, berkuat kuasa 12.01 tengah malam Jumaat lalu hingga 25 September depan.

Pelaksanaan itu membabitkan 366,787 penduduk.

PSP Perkeso merupakan program saringan bersasar kepada golongan pekerja berisiko tinggi.