KAJANG: Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diteruskan ke negeri Selangor dengan RM8.24 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam.

Maklum Menterinya Nga Kor Ming, peruntukan tersebut untuk menjayakan enam buah projek di kawasan bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Katanya, keseluruhan peruntukan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur tersebut adalah ‘performance-based budget’ atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan mutu perkhidmatan KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat.

“Jelajah Sentuhan Kasih tahun ini kita kembali kepada asas, bermaksud kita beri fokus kepada projek-projek berimpak tinggi yang dekat di hati rakyat.

“Kita mahu jalan yang rata, longkang yang bersih, lampu yang terang, tandas bertaraf ‘BMW’ (Bersih, Menawan, Wangi), kesemua ini adalah antara 7 fokus utama KPKT dalam tahun pertama Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani.”

Enam projek tersebut adalah:
  1. Kerja-kerja membaiki jalan dan menaik taraf Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, Mukim Kajang oleh MPK (RM790,000),
  2. Membaik pulih Pasar Bazar Rakyat di Jalan SK 6/1, Seri Kembangan oleh MBSJ (RM300,000);
  3. Membina dan membaik menyiapkan pejabat pengurusan, tandas awam, tempat pembuangan sampah, dan struktur berbumbung di tapak Laman Niaga Komuniti Sungai Long, Mukim Cheras oleh MPK (RM650,000);
  4. Kerja-kerja kecemasan pembaikan cerun runtuh di kawasan lapang di Taman Sri Raya, Cheras oleh MPK (RM1.5 juta);
  5. Kerja-kerja kecemasan pembaikan cerun di bahagian belakang deretan kediaman di Jalan Bukit Mewah 19, Taman Bukit Mewah, Kajang oleh MPK (RM2 juta); dan
  6. Kerja-kerja kecemasan membaiki runtuhan cerun di belakang rumah Jalan Legenda 1, Taman Legenda, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat oleh MPK (RM3 juta).
“Tempoh pelaksanaan akan bermula dengan kadar segera dan diharap dapat disiapkan paling lewat menjelang tahun depan kerana ia melibatkan kerja berfasa khususnya melibatkan pembaikan cerun.

“Tapi saya yakin naik taraf Taman Tasik Cempaka ini boleh siap tahun ni, tak payah tunggu,” katanya pada lawatan kerja di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi hari ini.

Kemudian, beliau meneruskan lawatan ke cerun di Taman Bukit Mewah Kajang, Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan, dan Laman Niaga Komuniti Sungai Long.

Turut mengiringi beliau adalah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Najmuddin Jemain, Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali; serta pengurusan tertinggi KPKT dan ketua jabatan peringkat negeri dan daerah.