KUALA LUMPUR:Dakwaan bahawa Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0) yang ditambah baik melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sebanyak RM1 bilion tidak mencukupi disifatkan tidak tepat.

Sebaliknya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pakej bantuan itu perlu dilihat bersama dengan bantuan-bantuan lain yang telah disalurkan oleh kerajaan.

Justeru katanya, peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta lagi disalurkan bagi PSU 3.0, menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM1.5 bilion.

"Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021.

"Ini juga bermakna bahawa program PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi tahun 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion.

"Selain daripada RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baru dimulakan," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

BACA: PERMAI: Majikan yang beroperasi boleh mohon Program Subsidi Upah 3.0

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua majikan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak memohon PSU 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, inisiatif tersebut membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dan dijangka memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih 2.6 juta pekerja.