Skip to main content

Malaysia

Program Wira Anti Rasuah didik generasi muda jadi ejen perubahan dalam masyarakat

SPRM Pulau Pinang
SPRM terus mempergiat usaha membudayakan nilai integriti dalam kalangan akar umbi menerusi pelaksanaan Program Wira Anti Rasuah (WAR) di peringkat sekolah. - Foto SPRM Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mempergiat usaha membudayakan nilai integriti dalam kalangan akar umbi menerusi pelaksanaan Program Wira Anti Rasuah (WAR) di peringkat sekolah.

Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk S. Karunanithy berkata berkata program yang dilaksanakan sejak 2014 itu bertujuan mendidik generasi muda mengenai bahaya rasuah agar mereka dapat menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

Advertisement

“Program ini memberi pendedahan awal kepada anak-anak tentang rasuah dan langkah pencegahan supaya mereka membesar sebagai individu yang berintegriti serta menjadi wira dalam memerangi rasuah.

“Ia dilaksanakan secara tahunan di seluruh negara di sekolah-sekolah terpilih dan di Pulau Pinang, sebanyak lima sekolah telah dipilih pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program WAR Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan (SK) St Mark, Perai di sini pada Rabu.

Beliau berkata inisiatif itu turut diperkukuh dengan melibatkan kerjasama pihak sekolah, guru, pentadbir serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan usaha membudayakan integriti dilaksanakan secara menyeluruh.

Karunanithy berkata pencegahan rasuah bukan usaha bermusim, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan dengan penglibatan semua pihak termasuk komuniti sekolah.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan program Kedai Jujur di negeri ini sebagai inisiatif memperkukuh pendidikan integriti dalam kalangan pelajar sekolah kerana ia terbukti berkesan dalam membentuk nilai kejujuran dan amanah dalam kalangan murid selepas dilaksanakan di kira-kira 20 sekolah di Sabah.

“Kedai Jujur ini adalah kios tanpa penjaga iaitu pelajar mengambil barangan dan membuat bayaran sendiri. Ia menjadi latihan praktikal kepada pelajar untuk mengamalkan integriti dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, Karunanithy yang juga bekas Pengarah SPRM Pulau Pinang berkata setakat Mac lepas, SPRM merekodkan 71 maklumat berkaitan rasuah dengan 13 kertas siasatan dibuka, sembilan tangkapan dan 14 pertuduhan telah difailkan di negeri ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video