KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia berhubung konflik Asia Barat yang seimbang dari sudut diplomasi diterima baik oleh kebanyakan negara termasuk Iran dan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pendirian Malaysia yang berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa dan keamanan turut dihormati oleh negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Advertisement
“Pendirian Malaysia dengan menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Israel dan AS itu memang bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pada waktu yang sama, melanggar undang-undang serta tataetika antarabangsa.
“Biarpun pada peringkat awal, negara-negara GCC agak runsing terhadap pendirian itu tetapi kini mereka jelas bahawa pendirian Malaysia itu ada baiknya,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Better Nation ke-10: Kesan Konflik AS-Iran ke atas Malaysia di Auditorium Menara Dato’ Onn di sini malam Rabu.
Ahmad Zahid berkata Malaysia juga mengambil pendekatan memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara-negara Teluk, AS dan Iran meskipun berdepan perkembangan geopolitik yang mencabar.
"Apa keberhasilan daripada hubungan baik kita dengan Iran… terdapat tujuh kapal tangki minyak yang tidak dapat melepasi Selat Hormuz tetapi Alhamdulillah, ia telah dapat dilepaskan walaupun tidak semua tetapi sekurang-kurangnya, bekalan minyak itu telah dapat dihantar ke negara kita.
“... insya-Allah, dalam waktu yang terdekat jika sekatan itu dapat dirungkaikan maka ketujuh-tujuh kapal itu akan dapat dilepaskan,” katanya.
Ahmad Zahid juga berkata pendekatan Malaysia yang tidak memihak tetapi berprinsip adalah langkah tepat bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
Selain itu, beliau berkata ia memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kalangan negara yang terlibat dalam konflik berkenaan dan negara sahabat.
“Jadi, langkah itu adalah langkah yang betul sebab secara relatif biarpun Malaysia adalah sebuah negara kecil tetapi pendirian dan hubungan antarabangsa tersebut memang sesuatu tindakan yang baik, yang tidak memihak namun kita dapat memperteguh kedudukan dalam kalangan negara-negara yang terlibat dan negara-negara sahabat,” katanya.
-- BERNAMA