KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave yang dijadual berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei depan di Bukit Bintang merupakan acara pelancongan tahunan yang dianjurkan secara tersusun di bawah pemantauan ketat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata penganjuran acara itu selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang bertujuan merangsang ekonomi bandar Kuala Lumpur, memacu industri pelancongan serta menyokong peniaga kecil dan sederhana.
Advertisement
Beliau berkata acara itu dianjurkan secara berskala sederhana dengan matlamat menyediakan platform interaksi yang positif, sihat dan inklusif kepada peserta tempatan dan antarabangsa, khususnya sempena Hari Pekerja.
“Saya mengecam keras beberapa hantaran berunsur hasutan dan fitnah di media sosial Threads oleh pihak tertentu yang sengaja mencetuskan kekeliruan, serta tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.
“Kenyataan berkenaan telah memutarbelitkan sifat dan tujuan acara, sekali gus mencipta naratif yang mengelirukan serta mengaburi pandangan umum,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tiong berkata orang ramai berhak menyuarakan pandangan, namun ia perlu berasaskan fakta dan bukannya hasutan atau manipulasi persepsi yang boleh membangkitkan emosi serta menggugat keharmonian masyarakat.
Sebagai perbandingan, beliau berkata acara berskala besar seperti Songkran di Thailand telah lama berjaya menarik pelancong serta menjana pulangan ekonomi yang besar kepada negara itu.
“Setiap tahun, ramai rakyat Malaysia turut ke Thailand untuk merasai pengalaman budaya tersebut, yang memberi kesan positif kepada kemasukan pelancong dan aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata usaha mencetuskan kontroversi atau memutar belit fakta hanya akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi dan kestabilan sosial negara.
Dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, katanya, sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam merangsang perbelanjaan, menyokong kehidupan rakyat serta memperkukuh daya tahan industri.
Tiong turut menafikan dakwaan bahawa peserta diwajibkan memakai pakaian mencolok mata, sebaliknya menegaskan acara itu dianjurkan berlandaskan nilai masyarakat serta kerangka undang-undang negara.
“Malaysia sebagai negara majmuk perlu terus bergerak ke hadapan dengan mengekalkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan tanggungjawab sosial, tanpa terperangkap dalam konflik tidak berfaedah,” katanya.
-- BERNAMA