Projek Agripolitan Pekan bakal mengubah nasib 415 keluarga miskin dengan pendapatan bulanan mencecah RM5,000 sebulan pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,mereka kini menerima pendapatan purata RM1,100 sebulan hasil penanaman kelapa sawit.

''Projek Tanjung Batu merupakan yang ketiga di Pahang selepas di Runchang pada tahun 2008 dan Batu 8 pada tahun 2011,'' katanya semasa majlis perasmian projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Tanjung Batu.

Pada majlis sama,Najib turut menyampaikan sijil penyertaan dan kunci rumah kepada peserta Agripolitan Tanjung Batu.

Sehingga kini, projek itu melibatkan penyertaan sejumlah 415 keluarga yang dipilih dari golongan miskin tegar terdiri daripada 213 keluarga di Tanjung Batu,100 keluarga di Batu 8 dan selebihnya di Runchang.

Kata Najib,selain pendapatan lumayan, peserta turut menikmati kehidupan selesa di rumah tiga bilik yang dibina Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

''Rumah yang dibina berharga dalam lingkungan RM60,000 ke RM70,000. Selain perumahan, kita lengkapkan juga kemudahan dan kelengkapan moden termasuk surau,dewan orang ramai dan gelanggang futsal,'' ujarnya.

Najib turut mengumumkan tambahan 100 lagi buah rumah yang akan dibina untuk peserta Agripolitan Pekan di Runchang.

Selain Pekan, ECERDC turut melaksanakan projek Agropilitan Besut - Setiu di Terengganu dan Kelantan Selatan di Gua Musang,Kelantan.