KOTA BHARU: Masyarakat Orang Asli yang terjejas dengan projek pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang menerima pampasan yang setimpal, serta menikmati fasiliti awam dan kemudahan asas.

Menurut Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan dan Terengganu,  Mustaphakamal Yaacob, antara pampasannya berupa tanah, rumah, ladang dan dusun.

Manakala dari segi fasiliti awam pula, ia melibatkan pembinaan sekolah, penempatan guru, dewan serbaguna, balai rawatan, rumah rehat, tadika, surau, lot kedai serta pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Menerusi pampasan ini juga, terdapat infrastruktur asas yang dapat dinikmati penduduk seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih, telekomunikasi, paip bomba, sistem pembentungan, kawasan perkuburan dan lain-lain lagi keperluan," katanya.

BACA: Projek Hidroelektrik Nenggiri jadi pemangkin pembangunan Kelantan, tingkatkan TBB negara 

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Taklimat Media Projek Hidroelektrik Nenggiri Gua Musang, di sini semalam, Mustaphakamal berkata, Projek Hidroelektrik Nenggiri tersebut akan memberi impak positif kepada sosio ekonomi Kelantan, khususnya masyarakat Orang Asli di sekitar tapak projek.

"Sebanyak 2,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

"Projek ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli, orang kampung, penduduk tempatan di sekitar tapak projek serta mewujudkan peluang ekonomi baharu dengan kewujudan tasik takungan utama seperti akuakultur, eco-pelancongan dan lain-lain," katanya.

Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada 2026 bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional.

BACA: Projek loji kuasa hidroelektrik: KPLB akan bertemu masyarakat Orang Asli Nenggiri

Pembinaan tersebut juga membawa manfaat dalam menyelesaikan isu kesejahteraan rakyat Kelantan terutama banjir.

Pada 7 Jun lalu, lebih 100 Orang Asli berhimpun bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Menerusi memorandum itu, mereka mendakwa projek itu bakal menenggelamkan tapak bersejarah bagi komuniti Orang Asli Temiar seperti Gua Cha dan Gua Chawas yang menjadi bukti kewujudan awal suku berkenaan.

Ia juga didakwa akan menenggelamkan salah satu jalan utama keluar masuk ke kampung mereka, mengakibatkan masa perjalanan bertambah kepada lima hingga enam jam, berbanding tiga jam sebelum ini.

BACA: Projek Hidroelektrik Nenggiri: TNB beri jaminan akan terus ambil langkah sewajarnya

Namun, kerajaan dan TNB memberi jaminan projek berkenaan bakal memanfaatkan bukan sahaja masyarakat asli suku Temiar di kawasan itu, sebaliknya juga penduduk di pedalaman dan negeri Kelantan amnya.

Projek Hidroelektrik Nenggiri akan dilaksanakan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), anak syarikat milik sepenuhnya TNB.

Ia menerima kelulusan dasar pelaksanaan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 12 Julai 2012 dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri Kelantan pada 25 Mac 2014.